Keinginan memiliki cahaya mata tentunya meluap-luap lebih-lebih lagi setelah 
bertahun-tahun mencuba namun masih tidak berjaya. Kepada yang berhadapan 
dengan masalah seperti ini, adalah penting untuk anda mengetahui bahawa ada banyak faktor 
yang boleh menghalang kehamilan.
Untuk pengetahuan, di kalangan pasangan suami isteri yang subur, peratusan 
kejayaan hamil selepas percubaan bulan pertama hanyalah sekitar 25 peratus. 
Ini bermakna 75 peratus daripada pasangan perlu mencuba beberapa kali 
sebelum berjaya hamil. Ramai tertanya-tanya mengapakah dia masih gagal hamil 
walaupun telah banyak kali mencuba tanpa jemu. Antara faktor penyebabnya ialah:
Usia wanita tersebut
Dalam zaman yang serba moden ini, ramai wanita mendirikan rumah tangga hanya selepas berjaya memperoleh kerjaya yang diinginkan. Akibatnya, usia sudah ‘banyak’. Tahu kah anda bahawa peningkatan usia boleh mengurangkan kemampuan seseorang wanita itu untuk hamil. Setelah berusia 30 tahun, tahap kesuburan wanita semakin berkurangan dari setahun ke setahun.
Usia dan tahap kesihatan pasangan
Tahap kesuburan lelaki juga berkurangan apabila usia mereka meningkat. Walau bagaimanapun, penurunan tersebut tidaklah secepat wanita. Biasanya tahap kesuburan lelaki mula menurun selepas berusia 40 tahun.
Gaya hidup
Pelbagai faktor yang ada kaitan dengan gaya hidup memberikan kesan terhadap keupayaan seseorang wanita itu untuk hamil. Antaranya ialah faktor pemakanan, senaman, tahap stres yang sedang dialami, tabiat tidur dan macam-macam lagi. Untuk memastikan berjaya hamil, anda mestilah betul-betul sihat. Maknanya, anda perlu berhenti merokok, tidak mengambil minuman keras, mengamalkan diet seimbang setiap hari, tidur yang cukup dan senaman secara berkala.
 Stres yang melampau
Tekanan perasaan yang melampau boleh menutup peluang anda untuk memiliki cahaya mata sendiri. Sama ada berusaha terlalu keras untuk mendapatkan anak ataupun terlalu komited dengan kerja, kedua-duanya boleh menyebabkan anda sukar hamil. Semakin tertekan pasangan suami isteri itu maka semakin susah bagi mereka untuk mendapatkan anak.
Pakaian
Bagi lelaki, pemakaian pakaian terutamanya seluar dan seluar dalam yang ketat boleh menyebabkan sperma yang dihasilkan kurang berbanding dengan lelaki yang berpakaian longgar. Jadi, ini bermakna sekiranya masih belum ada anak dan suami gemar memakai seluar dalam, elokkan bertukar kepada memakai ‘boxer’ agar lebih longgar.
Masalah hormon
Sesetengah wanita tidak ada masalah untuk hamil tetapi tubuh mereka tidak mampu menghasilkan progesterone yang mencukupi bagi mengekalkan kehamilan. Oleh itu, sekiranya anda risau tentang kemungkinan ada masalah hormon ataupun masalah fizikal yang menyukarkan kehamilan, segeralah berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.
Bilangan sperma yang rendah
Ada sesetengah lelaki bermasalah untuk menghasilkan sperma. Akibatnya isteri mereka sukar hamil. Oleh yang demikian, suami perlulah menjalani beberapa ujian terhadap sperma mereka untuk mengetahui keadaan sebenarnya.
Pengambilan kafein
Sekiranya anda mengambil lebih daripada satu atau dua cawan kopi setiap hari, anda sebenarnya mengurangkan keupayaan diri untuk hamil. Ada kajian mendapati bahawa jumlah kafein yang ada dalam tubuh boleh mengganggu kemampuan telur untuk melekat dalam uterus.
Ingat, jika anda masih gagal hamil setelah beberapa bulan mendirikan rumah tangga, segeralah berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan lanjut. Dengan bantuan peralatan moden dan kemajuan sains dan teknologi, memiliki anak daripada benih sendiri tidak mustahil. Yang pentingnya usaha.
   Semua sekadar INFO...berusaha dan rezeki itu InsyaALLAH...