Suami suka keluar melepak dengan kawan-kawan
Contoh
SAYA berkahwin setahun lalu tetapi belum dikurniakan cahaya mata. Saya gemar keluar tengah malam untuk minum di kedai mamak berhampiran. Sejak bujang sehingga berkahwin, amalan gemar ‘bersidai’ bersama rakan sukar dikikis.
Rasa macam gian, kalau tidak keluar, saya rasa macam kekurangan sesuatu dan bagai ‘cacing kepanasan’. Saya keluar selepas jam 12 tengah malam sehingga 3 pagi. Bukan buat apa pun, cuma berbual kosong dengan rakan sekerja dan adakalanya rakan satu universiti dulu.
Saya tidak pernah membezakan isteri dengan rakan. Malah, saya rasa kasih serta perhatian banyak dicurahkan padanya.
Kami pernah bertengkar hanya kerana perkara remeh. Saya rimas dengan sikap tidak matang isteri yang asyik mendesak saya menemaninya di rumah.
Puas saya terangkan, saya terbiasa dengan tabiat ini. Malah, orang tua saya pun sedia maklum tabiat saya yang gemar keluar tengah malam untuk minum malam atau memancing dengan rakan sekampung.
Adakah menjadi satu kesalahan jika saya keluar tengah malam? Saya bukan buat apa-apa kesalahan, cuma berbual dengan rakan.
QIYAM
Kodiang, Kedah
Mungkin isteri berasa keseorangan dan tidak selamat apabila ditinggalkan sendirian pada waktu malam. Tambah pula waktu yang saudara peruntukkan untuk keluar jauh lewat malam.
Pada dasarnya, ada kewajaran isteri merungut dengan sikap saudara kerana usia perkahwinan masih terlalu muda iaitu setahun, sekali gus menagih saudara memberi perhatian padanya.
Sebenarnya, saudara nyata memperuntukkan lebih banyak masa bersama rakan. Ini kerana masa siang tempoh lapan jam bekerja sudah semestinya dengan rakan dan malam seharusnya masa saudara berehat, tetapi masih digunakan untuk keluar bersama rakan.
Cuba bayangkan jika saudara berada di posisi isteri, tentu saja tempoh perkahwinan setahun ini ibarat ‘masa berbulan madu’ digunakan untuk lebih mengenali si isteri dan membicarakan hal rumah tangga. Bukan masih mengekalkan cara hidup bujang.
Apa salahnya aktiviti berbual kosong bersama rakan dikurangkan dan gunakan masa terbabit untuk berehat. Tabiat ini juga tidak elok untuk aspek kesihatan saudara.
Tidak dinafikan, aktiviti keluar malam menjadi tabiat yang sukar diubah.
Namun enggan mengubah tabiat itu disifatkan tindakan mencari masalah kerana saudara tahu isteri tidak menggemarinya.
Amalkan sifat bertoleransi dengan menyedari situasi saudari sudah berubah.
Hidup selepas berkahwin tidak sama dengan keadaan ketika masih bujang.
Sebagai permulaan, kurangkan kekerapan keluar malam. Contohnya daripada keluar setiap malam, hanya keluar dua kali seminggu. Jika ia terlalu drastik, tempoh masa diambil setiap kali keluar bersama rakan dipendekkan.
Lebihkan masa berdamping bersama isteri kerana saudara masih dalam ‘mood’ pengantin baru. Suami berperanan sebagai pelindung dan menemani isteri ketika dia memerlukan dan bukan meninggalkannya bersendirian di rumah.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/06/24
MyMetro