Friday, June 15, 2012

Penyakit - KAKI , TANGAN DAN MULUT

 Awasi Anak-anak kita dari gejala penyakit - KAKI , TANGAN DAN MULUT







Pada 13-June-2012 Rabu yang lalu aku telah membawa anak perempuan aku ke Hospital (UMMC) Lembah Pantai, untuk checkup kerana pada sebelah pagi hari rabu isteri aku telah beritahu bahawa ada seperti bintik-bintik pada tapak kaki,di lutut serta di celah jari. 3 hari sebelum anak mengalami demam biasa,pada mula aku agak mungkin campak.dan untuk kepastian sebelah malam aku membawa ke PPUM..
rupanya bukan campak seperti yang kami sangka ia adalah jangkitan Kaki,Tangan dan Mulut.Alhamdullilah tidaklah serius sangat

Definisi
Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut adalah penyakit yang biasa berlaku di kalangan bayi dan kanak-kanak. Biasanya terdapat lepuhan di mulut, tapak tangan, jari-jari tangan dan tapak kaki.

Sebab-sebab

Disebabkan oleh virus enterovirus. Virus yang biasanya menyerang adalah coxsackievirus A16.
Tanda-tanda dan gejala

Demam yang ringan
Rasa tidak sihat (letih dan lesu)
Sakit tekak

Selepas demam selama 2-3 hari, lepuhan yang menyakitkan mula terdapat di dalam mulut. Biasanya terdapat di atas lidah, gusi dan di sebelah dalam pipi. Ruam di kulit mula keluar di satu dua tempat dengan timbulnya lepuhan warna merah tetapi tidak gatal di tapak tangan dan tapak kaki serta juga di punggung. Lepuhan di mukosa dan permukaan kulit akan sembuh dalam masa 5-7 hari. Manakala lepuhan di tangan dan kaki akan sembuh dalam masa 5-10 hari.

Siapa yang mudah dijangkiti?

Kebanyakannya berjangkit kepada kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah.

Adakah penyakit ini berjangkit?

Ya. Ianya mudah merebak dari satu individu ke individu yang lain melalui sentuhan secara langsung (direct contact) dengan lelehan air hidung, tekak, air liur dan cecair dari lepuhan juga daripada najis individu yang telah dijangkiti. Ianya bukan sahaja mudah merebak terutama di awal jangkitan, tetapi juga boleh merebak selepas beberapa minggu di jangkiti.

Bolehkah penyakit tangan, kaki dan mulut berjangkit daripada haiwan?

Tidak, ia tidak sama dengan penyakit kaki dan mulut pada haiwan.

Bagaimana diagnosis dijalankan?

Selalunya ia dilakukan secara klinikal. Ujian ?throat swab?? ataupun daripada najis individu yang dijangkiti dihantar untuk ujian makmal bagi menentukan virus yang menyebabkan penyakit ini.

Rawatan

Tiada rawatan yang khusus.

Ubat demam (Paracetamol) digunakan untuk mengurangkan demam
Air garam digunakan untuk berkumur. Bancuhan: ½ sudu teh garam untuk segelas air suam sekiranya kanak-kanak tersebut boleh berkumur
Pastikan kanak-kanak minum air yang secukupnya
Produk tenusu yang sejuk dan aiskrim juga boleh diberi

Pencegahan

Boleh dicegah dengan mengamalkan mencuci tangan dengan air dan sabun selepas ada kontak dengan pesakit
Permukaan yang tercemar dan peralatan yang kotor hendaklah dicuci dengan air yang bersih, sabun dan di nyah kuman dengan menggunakan cecair Clorox, bancuhan ¼ cawan Clorox dengan satu gelen air
Jangan berkongsi barang-barang peribadi
Elak daripada mencium dan memeluk individu yang dijangkiti

Komplikasi

Komplikasi selalunya jarang berlaku tetapi boleh menyebabkan jangkitan kepada otak, paru-paru dan jantung yang mana boleh menyebabkan kematian.

Apakah vaksin untuk penyakit tangan, kaki dan mulut?

Tiada vaksin untuk penyakit ini.

Bila perlu berjumpa doktor?

Apabila demam tinggi tidak sembuh walaupun diberi ubat (< 38 C) lebih 48 jam
Letih/lesu
Kulit dan lidah yang kering
Resah gelisah (irritable)
Sawan
hilang sedar

Jika jangkitan berlaku di taman asuhan kanak-kanak, pemilik taman asuhan perlu :-

Kanak-kanak tidak boleh dihantar ke taman asuhan semasa terjadinya jangkitan untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 hari dan disahkan sihat oleh doktor. Memastikan semua kanak-kanak mengamalkan teknik mencuci tangan yang baik.
Basuh dan nyah kuman semua peralatan yang tercemar, alat-alat permainan dan juga permukaan seperti meja, kerusi dan lantai yang dicemari
Pastikan tidak ada kanak-kanak lain mempunyai gejala sama