Info MyMetro (Copy & Paste)
Bayi warisi alahan susu
Misalnya, kekurangan susu badan, sakit, tekanan dan perubahan hormon. Justeru, mereka memilih menggantikannya dengan susu formula sebagai alternatif.
Pun begitu, bukan semua bayi boleh minum susu tepung disebabkan alahan protein susu lembu.
Sempena Minggu Alergi Sedunia, Persatuan Pediatrik Malaysia dan Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia melancarkan Kempen Kesedaran Alahan Protein Susu Lembu (Cow’s Milk Protein Allergy) atau CMPA bertujuan meningkatkan kesedaran serta mendidik ibu bapa mengenainya dalam kalangan kanak-kanak.
CMPA adalah alahan makanan paling lazim dalam kalangan bayi. Walaupun statistik terhad, susu dipercayai makanan paling biasa oleh bayi di Asia dan Malaysia. Namun ia sering disalah tafsir kerana kesannya merangkumi pelbagai tindak balas alahan.
Presiden Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI), Dr Amir Hamzah Abdul Latiff berkata, istilah terkini untuk alahan yang diiktiraf Pertubuhan Alergi Sedunia ialah sebarang tindak balas hiper sensitif terhadap susu.
KULIT merah dan ruam gatal antara gejala anafilaksis yang melanda kanak-kanak.
“Tidak toleransi laktosa ialah ketidakupayaan untuk menghadam laktosa disebabkan kekurangan enzim laktase, manakala CMPA pula ditakrifkan sebagai tindak balas alahan hiper sensitif terhadap protein susu lembu,” katanya ketika pelancaran Kempen CMPA di sini, baru-baru ini.
Risiko lebih tinggi dialami iaitu antara 50 hingga 80 peratus jika ibu bapa menunjukkan manifestasi sama.
Menurut kajian, CMPA boleh berlaku sejak lahir dan akan memuncak dalam tahun pertama. Biasanya ia akan reda dalam jangka masa tiga atau empat tahun.
Namun, kajian membabitkan kanak-kanak yang mengalami CMPA mendapati masalah ini boleh berlarutan sehingga alam remaja bagi satu pertiga daripada kanak-kanak yang ditinjau dengan 12 peratus terus mengalami alahan terhadap susu lembu sehingga berusia 18 tahun.
Bayi CMPA juga biasanya berdepan masalah kurang zat. Antara ciri yang boleh diperhatikan ialah kekurangan air dalam badan, tiada selera makan dan menyusu dan tidak bertenaga.
Kesannya, pembesaran mereka terjejas. Malah, mereka juga boleh alami alahan lebih teruk dipanggil anafilaksis, tetapi keadaan ini jarang terjadi.
Bagi kes anafilaksis, gejala boleh timbul dalam masa beberapa minit selepas minum atau makan makanan yang mereka alah.
Gejala paling serius ialah bengkak pada muka, mulut dan lidah yang menyebabkan pesakit sukar bernafas.
Selain itu, ruam yang gatal, kulit merah dan muntah adalah gejala anafilaksis yang juga boleh berlaku. Jika anak anda menunjukkan gejala ini, dapatkan bantuan secepat mungkin kerana ia boleh membawa maut.
Turut hadir, Pakar Pediatrik dan ahli Kolej Pediatrik Akademi Perubatan Malaysia, Dr Chai Pei Fan dan Ketua Bahagian Pediatrik, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Lee Way Seah.
Dr Chai berkata, simptom CMPA dalam kalangan kanak-kanak boleh berlaku beberapa minit selepas susu diminum.
Ia bermula dengan keradangan kulit, masalah penghadaman dan mungkin berlaku tindak balas teruk iaitu anafilaksis.
“Majoriti kanak-kanak mengalami CMPA juga mempunyai ekzema, sementara 25 peratus daripada mereka akan terus alah terhadap sesetengah makanan. Mereka juga berisiko tinggi mengalami asma.
“Ibu bapa perlu mengetahui masalah dihadapi dan mengambil langkah betul bagi menangani CMPA selain merujuk pakar perubatan.
“Bagi membantu ibu bapa dan pegawai perubatan mengenal pasti CMPA dengan tepat, kami bersepakat mengeluarkan Buku Panduan Pengurusan CMPA bersama borang senarai semak CMPA yang boleh didapati di semua pusat kesihatan,” katanya.
Seseorang bayi yang disyaki alami alahan susu perlu diberikan penilaian perubatan, pelan perubatan dan rawatan susulan khusus. Anda perlu mengubah diet jika memberi anak susu badan atau menukar susu formula untuknya.
Dalam kes tertentu, doktor akan menyarankan anda menghentikan pemberian susu selama sebulan. Selepas tempoh ini, beri susu kepada anak dan lihat jika dia alami gejala alahan.
Malah, doktor juga mungkin merujukkan anak anda kepada pakar alahan untuk menentukan punca sebenar kepada gejala alahan yang si kecil alami melalui ujian pada kulit atau ujian darah.